Tuesday, August 14, 2007

Pasang kamera lagi? -- Kaedah itu pernah dilaksana tetapi ditinggalkan tidak berfungsi

Pasang kamera lagi? -- Kaedah itu pernah dilaksana tetapi ditinggalkan tidak berfungsi
Oleh MUZDALIFAH MUSTAPHA
KUALA LUMPUR 14 Ogos – Sudah terhantuk baru tengadah. Setelah 20 orang terkorban dalam nahas bas ekspres di Lebuh Raya Utara Selatan awal pagi semalam, pelbagai pihak memberikan cadangan dan idea untuk mengatasi masalah kemalangan maut yang berpunca daripada kelalaian manusia itu.
Hari ini, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Ahmad Mustapha Abdul Rashid mencadangkan kamera automatik dipasang di lokasi-lokasi yang kerap berlaku kemalangan di seluruh negara.
Alat itu yang dipanggil Kamera Pengesan Saman Secara Automatik (AES) katanya, akan dipasang secepat mungkin sebelum hujung tahun ini dan berfungsi merakamkan gambar kenderaan-kenderaan yang melakukan kesalahan jalan raya.
Tetapi soalnya, penggunaan kamera di lokasi-lokasi yang dikenal pasti khususnya di lebuh raya sebagai cara mengurangkan kadar kemalangan telah lama dilakukan tetapi apa yang berlaku ke atas peralatan berkos tinggi itu - sebahagiannya dilaporkan ditinggal tidak berfungsi.
Jadi, masalahnya bukanlah peralatan tetapi setiap pihak yang diberi tanggungjawab harus menggunakan peralatan pada tahap maksimum dan sekali gus memastikan penguatkuasaan peraturan jalan raya khususnya pengangkutan awam berjalan dengan baik.
Seperti kes nahas di Lebuh Raya Utara Selatan itu, bagaimana boleh dibenarkan pemandu bas yang mempunyai 15 saman termasuk dua waran tangkap bebas memandu di jalan raya.
Bagaimana pula bas Super Express itu yang digunakan sejak 1987 dan gagal empat kali pemeriksaan Puspakom Sdn. Bhd. baru-baru ini kerana masalah brek, disaman 19 kali oleh polis sejak 1991 selain merekodkan 79 saman dengan JPJ sejak lima tahun lalu, masih dibenarkan beroperasi.
Mengulas lanjut penggunaan kamera berteknologi tinggi itu, Ahmad Mustapha menjelaskan, AES merupakan cara terbaru bagi memperbaiki kelemahan sistem demerit yang dilaksanakan oleh JPJ sebelum ini.
“Menggunakan rakaman kamera itu, saman akan dikeluarkan serta-merta melalui sistem komputer JPJ dan rekod kesalahan itu akan dimasukkan dalam sistem demerit JPJ.
“AES diharap dapat menyokong sistem demerit berikutan JPJ sukar untuk menyenaraihitamkan pesalah-pesalah lalu lintas kerana sebelum ini sistem demerit gagal untuk terus mengenal pasti pemandu yang melakukan banyak kesalahan,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Menurutnya, dua kesalahan lalu lintas utama yang akan dikesan oleh AES ialah memandu laju dan melanggar lampu isyarat.
“Bagaimanapun jika AES diperkenalkan nanti, JPJ tidak boleh terus menyenarai hitam nama-nama pesalah terbabit kerana JPJ perlu menunggu keputusan daripada mahkamah terlebih dahulu,’’ jelas beliau.
Bagaimanapun. katanya, bagi mengelak berulangnya tragedi itu, syarikat bas perlu memantau kenderaan mereka secara lebih serius.
‘‘Pemantauan itu seperti memeriksa status saman pemandu melalui nombor kad pengenalan manakala bagi kenderaan pula melalui nombor pendaftaran kenderaan,’’ jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Datuk Markiman Kobiran berkata, aspek keselamatan kenderaan perdagangan bukan sepenuhnya di bawah bidang kuasa LPKP.
“Puspakom dan JPJ yang perlu mengenal pasti terlebih dahulu tahap keselamatan kenderaan, selepas itu baru LPKP boleh luluskannya untuk beroperasi,” jelasnya.